Warkah Buat Iby (Part 3)

BlogDuraNorell - The Zizis and Me | Warkah Buat Iby | http://dnorell.blogspot.my | dura.norell@gmail.com | Kelab Blogger Ben Ashaari KBBA9 | Blogger Malaysia
Selamat tinggal Iby.. Selamat tinggal Appa..

Sambungan...

Benarlah...
Manusia hanya merancang.. tapi tuhan yang menentukan..
Iby menanam banyak impian dan merancang banyak plan untuk masa depan kita. Bukan untuk setahun dua, tetapi sampai AbangYan masuk ke universiti. Tapi apakan daya, kita ni hamba yang berhutang nyawa kepadaNya. Bila tiba masa, diambilnya nyawa kita semula. 
Terrrlalu banyak impian Iby yang belum terlaksana. Sedikit terkilan juga di hati yayang, sebab Iby belum sempat untuk merasa nikmat kesenangan seperti yang Iby impikan selama ini. Setiap kali kita berborak tentang masa depan, yayang rasa terharu dan bersyukur, kerana diketemukan dengan Iby, yang sentiasa sabar dan tabah bersama yayang untuk menghadapi semua ujian dan dugaan hidup ini.

Selepas 9 tahun bersama, Iby pergi menghadap Ilahi hanya 5 hari sebelum tarikh ulangtahun perkahwinan kita! Iby pergi tinggalkan yayang, bersama anak-anak kecil berusia 7, 6 dan 3 tahun. Iby akhirnya, meninggalkan yayang yang sudah bertahun menjadi surirumah yang sentiasa berpaut di dahan seorang yang bernama Zizi. 

Tapi... Dalam kesedihan, yayang tetap REDHA dengan ketentuanNya..
Sebab yayang dapat rasakan betapa Iby pergi dalam keadaan yang penuh barokah..


Hari pengebumian...
---------------------------------

Mak kata, "Cantik muka Zizi. Tenang dan berseri mukanya dia". Ya. Masa yayang tengok Iby, yayang nampak seolah Iby sedang tidur sahaja, menunggu masa untuk dikejut. Alhamdulillah. Anak-anak pun masih mampu menatap wajah Iby buat kali terakhir, untuk disimpan sebagai kenangan.

Masa jenazah Iby dibawa ke masjid untuk dimandikan, yayang tersedar, betapa ramai muslimin dan muslimah sedang membaca AlQuran di masjid pagi tu. Mendayu-dayu je bacaan mereka beramai-ramai memenuhi segenap ruang Masjid Ubudiah, memberikan suasana yang sungguh mendamaikan. Rupanya, hari itu ada AlQuran Hour. Ya Allah, beruntungnya Iby, betapa diredhai hari pemergiannya, pasti sejuk roh Iby mendengar bacaan AlQuran sepanjang Iby dimandikan dan dikafankan. 

Masa nak solat jenazah di masjid, Abang Wan (Abg Iby), risau sangat. Sebab sebenarnya, dua hari lagi adalah Hari Raya Haji. Jadi, yang sebenarnya, ramai orang dah bercuti balik kampung. Kalau di tengok di parking-parking rumah sekitar masjid, memang lapang dan kosong aje. Jadi, AbgWan risau, takut takde ramai orang nak solatkan jenazah Iby. Tapi Allah SWT tu Maha Pemurah dan Penyayang. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan solat jenazah Iby pada hari itu. Bila disusun safnya dalam masjid yang besar itu, penuh 3 saf lelaki dan 3 saf perempuan untuk bersama-sama sembahyangkan jenazah Iby. Kawan-kawan kerja Iby pun ada juga yang datang untuk solatkan jenazah Iby. Ya Allah, sungguh besar rahmatMu ke atas arwah suamiku. Aku berdoa, semoga kau tempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman di syurgaMu.

Yang mengenali Iby pula, pasti tahu, Iby ni besar tinggi orangnya. Kalau diikut akal fikiran kita, pasti perlukan ramai orang untuk mengangkat jenazah Iby. Tetapi menurut Imam, betapa mudahnya untuk mengangkat jenazah Iby. Dari rumah ke kuburan, dari atas turun ke liang lahad. Ringan, dan dipermudahkan urusannya. Semuanya berjalan lancar, tiada perkara yang menghalang. Alhamdulillah. Yayang syukur ke hadrat Ilahi. Semuanya selesai menjelang 11.30am. 

Semasa di kuburan, KakLong dan KakNgah pergi temani jenazah Iby bersama Opah dan Atuk, saudara-mara dan jiran tetangga. Sekali lagi mereka menangis di kuburan, melihat tempat tinggal Iby yang baru, tempat tinggal yang memisahkan antara Iby dan kami. Maaf, Yayang tidak dapat temani Iby pada masa itu, kerana edah sudah bermula sehingga 4 bulan 10 hari. Yayang tinggal bersama AbangYan di rumah. Tapi Iby jangan risau, yayang setiap hari doakan Iby, dan sedekah surah untuk Iby, kerana yayang tahu doa seorang Isteri adalah yang paling dekat untuk seorang suami.

Emak kata, "Sabar, Tabah. Beruntungnya kamu, kerana arwah pergi dengan begitu mudah, langsung tidak menyusahkan orang sekeliling dia. Betapa Allah SWT itu juga sayangkan dia". Bila Yayang fikirkan dari sudut positifnya, memangb betul apa yang Emak kata. Sepanjang Yayang kenal dan bersama Iby, Iby seorang yang sihat. Memang pemergian ini sangat mengejut, tetapi, yayang yakin, ianya adalah yang terbaik untuk Iby sendiri. DAn semestinya pasti ada hikmah untuk Yayang dan anak-anak di kemudian hari.

Bila Yayang mengingatkan kesemua amalan Iby selama yayang kenal Iby, sebenarnya yayang rasa sungguh bersyukur. Solat Dhuha, Tahajjud, Hajat, Taubat, dan lain-lain, puasa sunat Isnin dan Khamis, mengaji, mendengar ceramah agama, solat jemaah di masjid dan amal jariah sentiasa menjadi amalan harian Iby sejak kita berkahwin 9 tahun lepas! Jika difikirkan, 9 tahun bukanlah suatu masa yang lama jika nak dibandingkan dengan segala dosa-dosa kita sebagai manusia sejak kecil hingga dewasa. Tetapi Allah SWT telah memberikan petunjuk dan hidayah kepada Iby sedari awal lagi. Beruntungnya Iby! Semoga Allah SWT memperbanyakkan hisab di tangan kanan Iby dan kurangkanlah hisab di tangan kiri Iby. 


Bersambung...

Labels: ,