Info Bulan Muharram

Selamat Menyambut Awal Muharram (Maal Hijrah) 1436H.

-----------------------
Bulan Muharram
-----------------------

MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.


Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam Bulan Muharram:

-1-
1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

-2-
10 Muharam – Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.


Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

-Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
-Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
-Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
-Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
-Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
-Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
-Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.
-Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
-Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
-Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
-Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
-Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
-Hari pertama Allah menciptakan alam.
-Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
-Hari pertama Allah menurunkan hujan.
-Allah menjadikan ‘Arasy.
-Allah menjadikan Luh Mahfuz.
-Allah menjadikan alam.
-Allah menjadikan Malaikat Jibril.
-Nabi Isa diangkat ke langit.


Antara Amalan Yang Disunatkan Dalam Bulan Muharram:

-1-
Puasa Tasu'a dan Asyura (9 & 10 Muharram).

Sumber: Shafiqolbu

-2-
Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.

-3-
Membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.

Doa Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”




Doa Awal Tahun

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.





Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram) serta Fadilatnya:

-1-
Melapangkan masa/belanja anak isteri.
Fadilatnya : Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

-2-
Memuliakan fakir miskin.
Fadilatnya : Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

-3-
Menahan marah.
Fadilatnya : Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

-4-
Menunjukkan orang sesat.
Fadilatnya : Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

-5-
Menyapu/mengusap kepala anak yatim.
Fadilatnya : Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

-6-
Bersedekah.
Fadilatnya : Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

-7-
Memelihara kehormatan diri.
Fadilatnya : Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

-8-
Mandi Sunat.
Fadilatnya : Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”

-9-
Bercelak.
Fadilatnya : Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

-10-
Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000x.
Fadilatnya : Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

-11-
Sembahyang sunat empat rakaat.
Fadilatnya : Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala.” Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11x.

-12-
Membaca “has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer”.
Fadilatnya : Tidak mati pada tahun ini.

-13-
Menjamu orang berbuka puasa.
Fadhilat : Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

-14-
Puasa. Niat – “Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”
Fadilat : Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.


--------------------------------
Sejarah Kalendar Islam
--------------------------------

Kalendar Islam (Hijriah)

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.


-----------------------
Kisah Hijrah
-----------------------

RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk.

Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Saidina Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.

Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW).

Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (ra) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu.

Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Saidina Abu Bakar (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Saidina Abu Bakar, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.

Rasulullah (SAW) dan Saidina Abu Bakar bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Saidina Abu Bakar (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.

Jabar Thur - Di sinilah terletaknya Gua Thur, tempat persembunyian selama 3 hari baginda Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq (as) daripada kaum Quraisy.
Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Saidina Abu Bakar (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW).

Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda.

Madinah

Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.


Sumber maklumat :
http://www.al-azim.com/
http://www.malaysiaharmoni.com/


Popular posts from this blog

Whatsapp Blue Tick : Apa Maksudnya?

Yeeehuuuu!!! Dexandra Perfumes dah restocked!!

I LOVE LOVE LOVE DEXANDRA PERFUME!